Saya ingin membawa pelayar internet berfikir akan maksud ummi yang sebenarnya iaitu gelaran yang diberikan kepada junjungan besar Nabi kita , Nabi Muhammad SAW. Apa pendapat anda ? Apakah yang dimaksudkan dengan Ummi itu ? Sesetengah daripada kita beranggapan gelaran ummi pada Rasulullah SAW itu bermaksud orang yang tidak tahu menulis dan membaca. Benarkah gelaran ummi itu dimaksudkan dengan orang yang tidak tahu menulis dan membaca ? Apa fikiran anda ?
Perkataan “tidak tahu” pada ayat tersebut sebenarnya telah merendahkan sifat kebijaksanan Rasulullah SAW. Sehinggan orang kafir mempertikaikan kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW, Rasul yang amat kita kasihi. Orang kafir berpendapat, bahawa orang yang bijaksana mestilah tahu menulis dan membaca kerana itu adalah cara atau kaedah untuk mencari ilmu pengetahuan.
Saya ingin menceritakan satu kisah berkenaan dengan seorang ustaz yang sangat mencintai Rasulullah. Ustaz ini mengambil PHD dan beliau yelah membuat kajian tentang UMMI iaitu sifat yang ada pada Rasulullah SAW. Sejak kecil hingga dewasa, ustaz ini hanya mengetahui maksud ummi pada Rasulullah itu sebagai orang yang tidak tahu menulis dan membaca.
Beliau telah berjumpa dengan ramai professor dan melawat banyak perpustakaan universiti di negara-negara Arab tetapi jawapan yang ditemui tetap juga sama. Beliau berasa sedih kerana sejak kecil beliau tidak berpuas hati dengan jawapan ini. Beliau sangat mencintai Rasulullah dan tidak sanggup mendengar penghinaan orang kafir terhadap junjungan besar Nabi kita.
Kunjungan terakhirnya ialah di Makkah Al- Munawwarah. Selepas bersolat dan berdoa di hadapan Ka’bah, beliau melihat seorang tua senyum kepadanya. Ustaz ini datang kepada orang tua itu dan berbual-bual. Akhirnya soalan terakhir yang dikemukakan oleh ustaz ini kepada orang tua itu ialah ‘apakah maksud ummi yang ada pada Rasulullah SAW itu sebenarnya?’. Walaupun tidak yakin dengan jawapan yang akan diberikan oleh orang tua itu, tetapi ustaz ini bertanya juga. Orang tua itu tersenyum dan akhirnya menjawab….
“ Wahai anakku, UMMI itu sebenarnya berasal daripada perkataan Bahasa Arab lama yang membawa 2 maksud. Maksud yang pertama ialah INDUK dan maksud yang kedua ialah ORANG YANG TIDAK TAHU MENULIS DAN MEMBACA. Perkataan INDUK itu pula mendukung dua maksud juga iaitu yang pertama IBU dan maksud yang kedua ialah TEMPAT LETAKNYA SEGALA SESUATU. Sebenarnya ummi pada Nabi Muhammad SAW itu membawa maksud pengertian induk yang kedua iaitu ~ tempat letaknya segala sesuatu ~ dan bukannya orang yang tidak tahu menulis dan membaca.
Wahai anakku, anda pun tahu segala ilmu pengetahuan yang berada di dunia ini terdapat di dalam kitab Al-Quran dan Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk disebarkan kepada seluruh umat manusia. Ini bermaksud Rasulullah adalah tempat berkumpulnya segala ilmu pengetahuan. Perlukah orang yang telah mempunyai segala ilmu pengetahuan belajar menulis dan membaca, sedangkan menulis dan membaca hanyalah satu kaedah untuk mencari ilmu pengetahuan.
Rasulullah tidak perlu kepada menulis dan membaca kerana Allah SWT sendiri melalui malaikat Jibril telah mengajar Rasulullah SAW Al-Quran, kitab yang mengandungi segala ilmu ilmu dunia dan akhirat. Hanya orang biasa seperti kita yang patut tahu bagaimana hendak menulis dan membaca kerana hanya dengan cara itu kita dapat mencari ilmu. Jadi maksud ummi pada Rasulullah SAW yang anak cari selama ini bukanlah orang yang tidak tahu menulis dan membaca tetapi terdapat dalam maksud induk yang kedua iaitu “ TEMPAT LETAKNYA SEGALA ILMU PENGETAHUAN “. Nabi Muhammad SAW adalah seorang Rasul Yang bersifat Bijaksana ”
Selepas mendengar jawapan daripada orang tua itu, ustaz itu memeluk orang tua itu dan menangis sedih kerana kejahilannya selama ini yang beranggapan bahawa ummi pada Rasulullah itu bermaksud orang yang tidak tahu menulis dan membaca, sedangkan maksud ummi yang sebenar yang ada pada diri Rasulullah itu adalah lebih tinggi maksudnya. Ustaz itu menyesal, bertaubat dan sangat gembira kerana apa yang dicarinya selama ini telah ditemui.
Melihatlah dengan pandangan mata hati…
Wallahu a’lam.
Allahumma Syholli 'ala Saiyidina Muhammadin 'abdika wa Rasulika Nabiyyil UMMIYYI wa 'ala aalihi wa Syhohbihj wa Sallim ...
Pengumuman
4 years ago
0 responses to "MAKSUD GELARAN UMMI YANG SEBENARNYA PADA DIRI NABI MUHAMMAD SAW…"