Semenjak beberapa tahun lepas, setiap bulan aku tak pernah mis untuk beli majalah Mastika sehinggakan koleksi yang dah terlampau banyak tak tahu mana nak simpan dah. Tambah menyukarkan lagi apabila nak berpindah rumah yang mana ianya telah menjadi rutin kehidupan aku sekeluarga, setiap satu atau dua tahun kami akan berpindah ke rumah baru. Maklumlah kerja macam aku ni susah sikitlah...ikut ke mana saja projek yang ada.
Kali ni bukan niat aku nak bercerita pasal kehidupan aku yang dah macam orang Badwi, tapi pasal satu ruangan yang aku baca dalam majalah Mastika keluaran Mac 2009. Sememangnya ia menarik perhatian aku bila membacanya sehinggakan terfikir aku untuk kongsi dengan korang semua. Yerlah benda baik dan menyeronokkan tak baik kalau tak dikongsi. Betul tak??. Okey...silalah tuan-tuan dan puan-puan baca dan hayati cerita di bawah. Zas....layan.....
Siti Fatimah seorang gadis yang cantik. Kulitnya putih mulus. Bibirnya merah, matanya bundar. Apabila bercakap, suaranya lembut menyebabkan semua lelaki di kampungnya, di Kuala Muda, Kedah, mengidam untuk menjadikannya sebagai isteri.
Fatimah, 19, anak petani miskin. Dia mempunyai kekasih tetapi terpaksa berkahwin dengan Abdul Muluk, 28, anak penghulu kampung yang bertubuh gemuk, hitam dan bengis. Bapa Fatimah Abdul Rahim namanya, terpaksa berbuat begitu sebagai membalas kebaikan tok penghulu melupuskan hutangnya yang sudah meningkat beribu-ribu ringgit jumlahnya.
Muluk lelaki jahat walaupun Fatimah memberikan sepenuh kasih sayang dan kesetiaannya, tetapi dia masih juga mencari perempuan lain. Setiap malam Muluk berpeleseran di kelab-kelab malam dan membuat maksiat.
Fatimah yang baik dan setia ini, apabila ibu datang ke rumahnya dan bertanya di mana Muluk, dia akan berbohong mengatakan suaminya itu ada majlis qiamullail di masjid. Atau, ada kenduri di rumah kawan. Padahal, Muluk tak pernah sembahyang walaupun sudah puas dinasihati Fatimah.
Muluk juga suka memukul Fatimah. Apabila ibunya bertanya kenapa mukanya lebam, Fatimah cepat-cepat berdalih mengatakan dia terjatuh. Hakikatnya, setiap malam Fatimah menangis mengenangkan nasib diri.
Hukuman Allah datang juga. Selepas lebih 10 tahun menasihati suaminya itu agar bertaubat dan ingat pada tikar sembahyang, akhirnya bala menimpa. Abdul Muluk ditimpa penyakit yang amat aneh.
Dia sering muntah darah. Badannya lemah, Muluk berjalan terhuyung-hayang. Seluruh tubuh lelaki itu terasa bisa bagaikan dicucuk jarum. Dua bulan begitu Muluk masih tidak mati. Orang mengatakan Abdul Muluk disantau.
Daripada gemuk akhirnya menjadi kurus kering. Fatimah isteri yang setia, dia menangis meratapi nasib suaminya itu. Dia berdoa agar Tuhan mengampunkan dosa suaminya dan disembuhkan penyakitnya itu. Pun begitu sudah dasar lelaki jahat, Muluk tetap angkuh dan sombong. Dia tetap memarahi dan memukul Fatimah hingga lebam-lebam tubuhnya.
Suatu hari Muluk pergi ke hospital. Dia pergi seorang diri. Di hospital doktor membuat pemeriksaan dan kemudian memberikan Abdul Muluk satu bekas kecil. "Kami kena buat ujian air kencing. Keadaan encik ni memang serius, tapi saya pelik berdasarkan pemeriksaan....semuanya normal. Tekanan darah, jantung, usus dan semua organ lain dalam keadaan baik. Jadi, kami perlukan air kencing encik untuk diuji".
Muluk terdiam. Dia meminta kebenaran daripada doktor untuk membawa bekas tersebut balik ke rumah kerana baru saja membuang air kecil. Lagipun, air di dalam badannya sudah hampir kering. "Boleh...tapi esok kena bawa ke sini semula. Seelok-eloknya air kencing yang pertama selepas Encik Muluk bangun daripada tidur", pesan doktor berkenaan.
Esoknya, Muluk melakukan apa yang diarahkan doktor. Bekas berisi air kencing itu kemudian Muluk tinggalkan di lantai sudut bilik air sementara dia pergi menukar pakaian untuk ke hospital. Sudah ditakdirkan, pada waktu yang sama, Fatimah pula masuk ke bilik air untuk mencuci muka. Tanpa disedari, Fatimah telah tersepak bekas berisi air kencing suaminya itu. Lalu tumpahlah air kencing berkenaan.
Pada ketika itu, badan Fatimah terus mengigil. Dia berasa bersalah yang amat sangat kepada Muluk. Fatimah juga berasa takut akan dipukul oleh suaminya yang bengis itu. Fatimah isteri yang setia ini, terus menangis. "Ya Tuhanku...apa yang perlu aku buat sekarang? Kau bantulah aku.....", Fatimah menekap muka dan mengesat air matanya. Fatimah kian terdesak, apa yang perlu dilakukannya.....
Pukul 10.00 pagi, Abdul Muluk pergi bersendirian ke hospital membawa bekas air kencingnya. Pukul 10.30 pagi, doktor membuat ujian ke atas air kencing berkenaan dan keputusannya amat mengejutkan. Beberapa kali ujian dilakukan, hasilnya tetap sama. Lantas doktor memanggil Muluk.
"Encik Abdul Muluk, hasil ujian yang saya lakukan ke atas air kencing encik ini menunjukkan....menunjukkan...." kata doktor terputus-putus. "Menunjukkan apa doktor?" tanya Abdul Muluk yang tidak sabar lagi untuk mendengar keptutusan ujian air kencingnya itu.
"Ujian air kencing ini menunjukkan Encik Abdul Muluk mengandung tiga bulan!" kata doktor.
BUKK....
Muluk pengsan dan terus mati.
Huahuahuah..........
(MORAL CERITANYA : Pertama, jangan suka pukul bini. Keduanya, jangan sombong dengan kekayaan yang ada. Ketiga, balasan tuhan pasti datang. Keempat, jangan sepahkan air kencing. Kelima, aaaahhhh......lu pikirlah sendiri, takkan aku jer nak pikirkan untuk korang!)
Pengumuman
4 years ago
0 responses to "Kisah Seorang Isteri Setia"