Sunday, July 14, 2013 | Posted in

Adapun diceritakan kembali sebagaimana yang didengar dari Pak Imam tadi. Alkisah tuan rumah yang mengupah seorang tukang untuk membina rumah beliau. Lalu sebagai ganjaran kepada tukang rumah tersebut maka dibayarnya RM100.00 sehari. Maka bekerjalah tukang tersebut menyiapkan rumah majikannya.

Tersebut juga ada seorang hamba Allah yang baik hati mendapat tahu ada tukang rumah yang bekerja berhampiran kediamannya. Maka, setiap hari Hamba Allah ini tidak lupa untuk menghantar bungkusan nasi kepada tukang rumah tersebut.

Bila saja majikan tukang tadi mengetahui ada seorang yang baik hati selalu menghantar bekalan nasi kepada pekerjanya maka tanpa bertangguh beliau terus berjumpa dengan Hamba Allah itu dan memberi RM100.00 iaitu sama harga yang dibayar upah kepada pekerjanya. Bayaran itu dibuat pada setiap kali dia menghantar bekal nasi tersebut yang pada nilai hanya mungkin RM3.00 sahaja.

Kalau difikirkan memang tidak logik diakal manusia bagaimana seseorang yang tiada kena mengena mendapat bayaran berlipat kali ganda berbanding kerja atau sedikit usaha yang dilakukan. Tapi begitulah bila kita berbalik pada Allah SWT maka tiada apa yang mustahil atau pun yang tidak logik. Semuanya akan menjadi logik kerana Allah SWT itu Maha Berkuasa. Mampu melakukan apa saja dan menganugerahkan apa saja kepada siapa yang dia suka yang taat kepada suruhanNya.

Perumpamaan yang di bawa oleh Pak Imam tadi memang sangat menarik. Bayangkan seseorang yang berpuasa memberi sedekah atau memberi makan kepada orang yang berpuasa maka pahala yang mereka dapat seperti jugak pahala yang diperolehi oleh orang puasa tadi. Maka di sini pahala puasanya berganda dalam sekelip mata.

Tuan rumah di sini diumpamakan kepada Allah SWT. Tukang rumah pula ialah orang yang sedang berpuasa. Hamba Allah budiman pula disandarkan kepada diri kita sendiri.

Justeru, sama-samalah kita mengambil peluang untuk melipat gandakan amalan kita di bulan yang mulia ini. Ganjaran yang menanti bukan sedikit bahkan tidak terhitung banyaknya di hadapan Allah SWT nanti. Jadikan ramadan ini sebagai ramadan terakhir yang akan kita lalui. Semoga apa yang kita lakukan mendapat berkat dan rahmat dari Nya. Inchallah...
 
Wallahua alam

Category: |
��

Comments

0 responses to "Ramadan karim"